Monday, August 1, 2011

Dikatakan Ramadhan Mengurangkan Produktiviti

Hai orang2 yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang2 sebelum kamu agar kamu bertakwa.
(Surah al-Baqarah:183)

Seperti yang kita sedia maklum, kewajipan berpuasa telah diturunkan sejak umat sebelum Nabi Muhammad s.a.w lagi. Cuma beza antara puasa ahli kitab & umat Nabi Muhammad s.a.w adalah dengan adanya bersahur. Meskipun tidak wajib bagi yang berpuasa untuk bersahur namun bersahur adalah sunnah yang sangat digalakkan.

"Pembeza antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur"
(Riwayat Muslim)


"Sesiapa yang ingin berpuasa maka bersahurlah dengan sesuatu"
(Riwayat Ahmad, disahihkan dengan syawahid)

Tetapi bagi kebanyakan daripada kita lebih senang untuk tidak bersahur gara-gara memudahkan urusan harian kita. Ada pula yang lebih senang untuk bersahur sebelum tidur dikhuatiri tidak terjaga awal pada pagi hari sebelum fajar tiba. Namun waktu bersahur yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w tidak mustahil malah mudah untuk dilakukan bagi mereka yang menyahut seruan bersahur walaupun dengan sebiji kurma dan segelas susu. Hal ini kerana penetapan bersahur yang digalakkan oleh Rasulullah s.a.w adalah seperti berikut:

Kata Zaid bin Thabit,"Kami bersahur dengan Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat(Subuh)".
Anas bin Malik bertanya beliau,"Berapa lama antara waktu azan dan sahur tersebut?".
Jawab Zaid "Kadar 50 bacaan ayat(al-Quran)".
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Betapa mudahnya urusan yang ditunjukkan oleh Rasulullah yang menyebabkan baginda terus melaksanakan solat subuh seterusnya bersiap sedia untuk urusan seharian. Atau mungkinkah kita sudah terlupa akan pesanan para doktor bahawa 'Breakfast is the most important meal'?
Begitulah cantiknya urusan kehidupan yang diaturkan oleh Si Pencipta agama fitrah ini.

Mungkin atas keringanan kita memandang enteng pada saranan bersahur inilah yang menyebabkan berlakunya peristiwa pengharaman berpuasa Ramadhan yang pernah berlaku di Tunisia suatu ketika dulu. Pada 1961 bersamaan 1831H, Presiden Tunisia pada waktu itu Habib Bourguiba pernah mengisytiharkan pengharaman berpuasa sepanjang Ramadhan kerana mendakwa bulan yang penuh kemuliaan itu sebagai faktor mengurangnya produktiviti negara itu selama sebulan. Beliau cuba meyakinkan rakyat supaya mengikuti saranannya dengan tampil di kaca televisyen bersama-sama ahli kabinet menjamah hidangan pada bulan Ramadhan.

Mujur peristiwa itu mendapat tentangan daripada Mufti Tunisia pada waktu itu Sheikh al-Taher Ibnu Ashoor. Beliau membidas kenyataan Presiden negaranya dengan mengeluarkan fatwa di televisyen mengatakan bahawa suruhan berpuasa pada bulan Rmadhan adalah wajib bagi individu yang bergelar Muslim dan tidak ada syak lagi mengenainya. Beliau merujuk kepada surah al-Baqarah ayat 183 serta kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan yang terkandung sebagai Rukun Islam yang ketiga.

Perlunya bagi kita untuk kembali mengungkap dan menghayati sejarah Islam yang menyaksikan pelbagai peristiwa hebat yang pernah berlaku pada bulan Ramadhan.
Antara contoh peristiwa yang pernah berlaku adalah:

1. Meletusnya Perang Badar yang menyaksikan kemenangan Islam pada 17 Ramadhan 2H.
2. Penggalian parit bagi Perang Khandaq pada Ramadhan 5H yang dimenangi oleh umat Islam.
3. Pembukaan Kota Makkah pada 10 Ramadhan 8H.
4. Penarikan balik tentera pada Perang Tabuk Ramadhan 8H.
5. Kemenangan dalam Perang al-Qadisiyyah yang dipimpin oleh Saad bin Abi Waqas pada 9 Ramadhan 16H.
6. Penawanan Andalusia yang dipimpin oleh Tariq bin Ziad pada 9 Ramadhan 92H.
7. Kemenangan Abu Muslim al-Khorasani ke atas Dinasti Umaiyyah pada Ramadhan 129H.
8. Kemenangan dalam Perang Zallaqah di Portugal pada 10 Ramadhan 459H.
9. Perampasan kembali negara Harim di Syria daripada tentera Salib oleh Sultan Nuruddin
az-Zanki pada 9 Ramadhan 559H.
10. Kemenangan Salahuddin al-Ayyubi dalam Perang Hittin pada Ramadhan 584H.
11. Perampasan Baitul Maqdis oleh Salahuddin al-Ayyubi pada 22 Ramadhan 648H.
12. Kemenangan dalam Perang Ain Jalut pimpinan Sultan Saifuddin al-Qutuz pada 24 Ramadhan 658H.
13. Kemenangan Islam dalam Perang Serbia pimpinan Panglima Uthmani Murad pada 26 Ramadhan 927H.
14. Kemenangan Islam dalam Perang Yakhliz pimpinan Ahmad Mukhtar Basya pada 15 Ramadhan 1294H.
15. Kemenangan Islam ke atas Zionist dalam Perang 6 Oktober yang melibatkan Mesir pada 10 Ramadhan 1393H.

Kita menyaksikan pelbagai kehebatan sejarah pencapaian Islam yang berlaku pada bulan Ramadhan. Lantaran itu, dengan baki hari yang ada, manfaatkan peluang yang diberikan Allah kepada kita pada bulan Ramadhan dengan sebaiknya. Mungkin pada bulan ini kita bakal mencipta suatu lagi kejayaan dalam lembaran sejarah Islam. Mungkin juga bulan Ramadhan ini menyaksikan sekali lagi perampasan al-Quds jatuh ke tangan yang hak.

Ayuh kita menafikan kenyataan golongan sekular yang mengatakan Ramadhan itu bulan lemahnya produktiviti Islam. Jangan sekadar kita membantah dengan slogan. Jangan sekadar kita membantah dengan emosi. Jangan pula kita membantah dengan kekerasan. Tapi bantahlah dengan tindakan!

"Barakallahu fiikum"

No comments: